Saturday, 20 June 2020

Empat tahun kemudian

Pejam celik pejam celik, dah nak habis dah degree aku. 4 tahun bukan lama dan bukan jugak sekejap bagi aku. Entah. Aku macam tak percaya, saat aku melangkah masuk semula ke alam degree pada usia 24 tahun, aku memang dah berkira-kira yang aku hanya akan bergraduasi 4 tahun akan datang iaitu pada ketika usia aku 28 tahun.

Satu usia yang sudah tua bagi aku yang mana bila aku fikir balik, lagi dua tahun aku nak menginjak ke 30 tahun. Namun, aku masih belum capai apa-apa. Financially. Aku tahu, duit atau material bukanlah end goal aku. Tapi aku tahu, sekurang-kurangnya dengan sedikit duit, aku boleh berbakti kembali kepada kedua ibu bapa aku.

Alhamdulillah, aku patut bersyukur, walaupun aku bukanlah daripada keluarga yang melimpah harta, tapi kami sekeluarga cukup makan pakai. Tak pernah apa yang aku inginkan, aku tak dapat. Kerja keras ayah waktu muda dan duit persaraan juga cukup untuk tampung keperluan kami sekeluarga. Aku patut bersyukur dalam hal tu. Bila mana orang lain pada usia tua, perlu masih bekerja. Untuk kami anak-beranak, ayah dah boleh berehat dan buat apa yang ayah suka.

Untuk aku pula, perjalanan yang panjang ini, adalah satu jalan yang aku taktahu nak rasa apa. Tipulah kalau aku tak kecewa. Tipulah kalau aku tak rasa benci pada diri sendiri. Tipulah kalau aku tak pernah rasa macam nak hilang je dari dunia dan tak perlu hadapi semua ni.

Tapi aku cuba hadapi dengan langkah yang aku pun tak tahu dari mana aku dapat kekuatan. Kawan-kawan aku yang lain, nampak aku macam seorang yang kuat. Dengan penglibatan aku dalam aktiviti sukarelawan dan kepimpinan, mereka nampak, aku macam tiada apa. Mereka nampak, aku macam kuat dan tabah hadapi semua cabaran. Mereka nampak kejayaan aku dapat anugerah itu ini adalah tanda aku dah bangkit daripada kejatuhan.

Tapi itu apa yang mereka nampak dan rasa. Dan memang, aku, yang tak suka rasa disimpati, memang nak orang nampak aku yang itu. Amalina yang kuat. Amalina yang tak mudah kecewa. Amalina yang cepat bangkit daripada kekecewaan. Entah. Mungkin aku punya ego tinggi. Mungkin juga aku keras kepala taknak rasa diri lemah. Mungkin juga ada sisi tabah dan putus asa dalam diri aku. Aku pun tak tahu. Aku pun tak pasti. Yang aku pasti, aku dah lepas dah perjalanan yang panjang dan berliku ini.

Tapi ini semua baru permulaan. Permulaan kepada perjalanan yang aku tak pasti ke mana pula aku akan melangkah lepas ini. Waktu ini jugalah aku dah rasa macam terlalu tua dan lambat untuk ini semua. Dengan bebanan hutang yang kerap menghantui, kadang aku rasa macam tak tahu nak mengadu ini semua pada siapa.

Aku cuma ada Allah dan ruang penulisan ini.


No comments:

Survivor

Aku sendiri pun macam tak percaya, pada tahun 2020, ruang blog ini masih wujud dan bernyawa. I'm glad that 4 years ago, I am still writi...