Showing posts with label Nota Pendek Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Nota Pendek Kehidupan. Show all posts

Monday, 4 May 2015

#kembarapendakian

PROLOG

9.15 pagi
Laju kaki menuruni Bukit Broga. Permukaan tanah yang agak licin dan ramai orang (jarak antara satu sama lain dekat) menyukarkan lagi langkah untuk turun dengan cermat. Pijakan orang ramai pada tempat yang sama menjadikan tanah lecak dan seringkali rasa mahu tergelincir. Mujur kasut yang dipakai masih belum haus, masih berbunga untuk melangkah turun saat matahari perlahan-lahan naik menyimbah cahaya.

____________________

6.30 pagi
Suasana masih gelap dan cahaya matahari belum kelihatan. Lampu picit tersedia di tangan untuk bercahaya dalam kegelapan. Jarak antara satu kumpulan pendaki dengan pendaki yang tidak berapa jauh membatalkan hasrat untuk menggunakan lampu suluh. Lagipun, jalan mendaki sudah ada, tinggal mengikut jejak dan berhati-hati dalam pendakian.

Baru beberapa langkah sudah rasa berat langkah. Termengah-mengah mengambil nafas sambil kaki masih dipaksa-paksa untuk gagah melangkah. Mungkin kelemuan (lemu tu bahasa jawa, pandai2lah cari dalam bahasa Melayu haha) membuat langkah semakin terbeban dan pundak semakin memberat.

Mungkin situasi ini bukanlah situasi langsung seperti dalam ayat ini
Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mauoun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui
At-Taubah : 41 

tapi situasi yang memberi pen-tadabur-an; walau seberat manapun rasa yang terbelenggu dalam jiwau, tapi demi jihad di jalan Allah, gagahi jua, tempuhi jua. Matlamat untuk mencapai ke puncak bukit sana. Sebab apa? Sebab itu yang terbaik untuk kita. Jihad itu, pengertiannya besar.

Dari Abu Hurairah R.A telah berkata, Rasulullah S.A.W telah ditanya, yang bermaksud

"Wahai Rasulullah S.A.W, apakah yang menyamai jihad di jalan Allah?" Baginda menjawab, "Kamu tidah akan mampu melakukannya." Mereka telah mengulangi pertanyaan itu dua atau tiga kali, semuanya telah dijawab dengan "Kamu tidak akan mampu melakukannya" Kemudian baginda bersabda, "Perumapamaan orang yang berjihad di jalan Allah adalah seperti orang yang berpuasa berqiamulail dan membaca Al-Quran, dia tidak berbuka daripada puasanya, tidak berhenti daripada solatnya dan tidak berhenti daripada membaca ayat-ayat Allah sehingga orang yang berjihad di jalan Allah pulang (semula ke tempat tinggalnya)."
Kuoted daripada Denyut Nadi Dakwah, Dr Majdi Al-Hilali

Nah. Jihad jangan disempitkan dengan mempertahankan diri dan berperang saja ya. 

_____________________________

9 Nov 2014 - Snowdonia



Perlahan kaki memulakan langkah mendaki bukit yang separa landai. Bukit Snowdon terletak di belakang kawasan perumahan dan tanah yang meninggi semakin kelihatan tatkala kaki melangkah di kawasan berbatu kemas dan rata.

Udara sejuk sedari awal sudah menyapa saat turun dari bas. Jaket dizip ke atas dan mafla bercorak ala palestin dililit kemas pada leher. Pendakian dimulakan dengan semangat untuk sampai ke puncak yang dikhabarkan terlitup salji. Mukadimah langkah dari kaki bukit ke checkpoint pertama masih belum habis namun kepenatan otot kaki dan mengah nafas perlahan membunuh semangat jiwa.

Beberapa kali tertinggal di belakang Shabirah dan Anis. Kejap-kejap langkah terhenti. Dalam nafas ditarik. Berjalan lagi, Kadang-kadang berselisih dengan dua tiga orang sisters dan hanya mampu tersenyum dan mengangguk tatkala ditanya, "Are you okay?"

Hujan batu mula turun. Habis lencun seluar dan jaket. Kacamta walau dikesat beberapa kali masih tetap kabur dan berwap. Lagi dilihat jalan di hadapan, lagi berkabus kaca mata. Waktu itu nekad, pandangan ditala ke bawah dan berjalan sejauh mana yang mampu untuk sampai ke puncak yang lebih tinggi.

Semakin tinggi pendakian, semakin mencabar jalan yang berbatu. Angin tiba-tiba bertambah kencang. Manakan ada pohon malar tinggi untuk mengkanopi diri. Pandangan lapang ke belakang akan terlihatkan tasik menakung dan bukit batuan.

"Anyone who wish not to continue hiking can start going down now and the rest can continue their journey to the peak."

Wuish siapa taknak daki sampai ke atas.

Namun cuaca tak mengizinkan. Hampir beberapa kali terpaksa berdiri tegak sebab angin yang sangat kuat

"We have to go down now. If not, we are not able to make to the feet of the mountain before dark."

Lebih kurang pukul 4 hari akan mula gelap.

Walau tak sampai ke puncak bukit. Cukuplah untuk satu pengalaman yang cukup mahal.

______________________________

EPILOG - Bukit Broga

Turun bukit dalam keadaan sedikit berlari rupanya lebih kurang sakit kerana kurang tekanan di hujung jari. Cuma perlunya pandai berhenti dan mengawal langkah supaya tak tersasar langkah.

Tempo langkah kononnya sudah dapat. Tapi rupanya lupa yang tanah memang jelas licin dan kemudian hilang pertimbangan lalu apa

Bukkk

Jatuh tersungkur ke hadapan dengan tersembam muka ke tanah.
Laju bangkit dengan mengatakan oh ok je ok je dengan orang belakang.

Dalam hati, "Padan muka aku nak tunjuk lagak jalan laju sangat."

.... tapi tahu tak kesakitan itu tarbiyah paling manis daripada Allah untuk pendakian kali ini, selain pemandangan indah yang tersaji di puncak bukit sana.

Friday, 17 January 2014

[7]

Sudah lama aku tak bercerita gaya begini. Jadi, aku kumpul cerita itu dalam label Nota Pendek Kehidupan dan ini cerita aku yang ketujuh.

________________________________________

Granada.

Bukan senang mahu jumpa kedai makanan halal di sini. Apatah lagi yang murah dan berpatutan. Awal-awal lagi tugas mencari kedai makanan halal sudah dibahagikan kepada Syafiyyah dan Mimi. Alhamdulillah. Tidak sesukar mana pun untuk mencari. Berpandukan GPS dan gerak hati sampai kami di kedai makanan halal.

Kedai kebab yang satu ini tak berapa jauh dari tempat penginapan.

Sepanyol. Kekangan komunikasi adalah yang paling mencabar.

"Kedai ini halal?" sempat kami tanya pada pemilik kedai kebab berkenaan. Semestinya bukan dalam bahasa Malaysia.

Si pemilik kedai angguk. Alhamdulillah. HALAL. Satu perkataan yang semua Muslim akan tahu makanan itu boleh dan selamat dimakan. Itu baru sepatah dua perkataan yang mutual. Kalau semua orang Islam tahu berbicara Arab, subhanallah! Senang bila bersua. T_T

Komunikasi dengan pembuat kebab itu sangat terhad. Ingin rasanya berbicara walau sekejap. Bertanya pasal Islam. Bertanya pasal dari mana asalnya.

Entah aku lupa macam mana tiba-tiba boleh bermula komunikasi antara kami dan si penjual kebab selepas makanan ditempah.

Dia kata asalnya dari Syria tak silap. Dulu belajar di universiti di Sepanyol.

... dan antara butiran percakapannya antara dengar dan tidak, aku dengar dia kata semua keluarganya sudah meninggal dunia. Sebab waktu itu yang tertangkap di telinga hanya perkataan "Mosque" dan "kill". Si pekedai juga mengisyaratkan seperti tangan memotong leher dan kepala tersendeng ke sebelah.

Kebab yang masih berbaki aku suakan ke dalam mulut. Perlahan aku kunyah dan telan. Pada masa yang sama aku cuba menghadam cerita kehidupan si pemilik kedai kebab.

Mungkin dia sudah lama di Sepanyol dan untuk kembali ke negaranya tidak mungkin kerana dia sudah tidak punya apa.

... dan kemungkinan itu terus tidak berjawab.

_____________________________

Sebenarnya agak teruja bila terjumpa masyarakat Islam di Sepanyol. Alhamdulillah di Granada ramai orang Islam dan kalau berjumpa, disapanya kami dengan salam. Tidak seperti di Seville dan Malaga yang mana kehadiran kami dibalas dengan pandangan yang asing dan janggal.

Heh, memanglah! Dah muka pelancong. Cakap bahasa yang mereka tak faham. Memang orang pandang asing.

Bukan. Maksud saya jauh lagi dari itu. Tentang asing dan janggal itu.

Thursday, 23 February 2012

[6]

Jumaat

Sebolehnya aku mahu cepat sampai ke LRT Masjid Jamek. Along mungkin sudah lama menunggu aku di situ.

"Eh, kau kat mane?" suara Wan di hujung talian.

"Err. Baru nak naik teksi ni. Ko solat Jumaat dulu kat masjid Jamek sempat lagi ni. Baru masuk Zohor pun."

Keluar dari pintu pagar Angkasa, satu teksi pun tak kelihatan. Hari Jumaat kan. Solat Jumaat. Pemandu teksi bangsa lain pun mesti tak menang tangan menghantar warga kota ke sana sini ke destinasi masing-masing.

Mulanya, aku bercadang untuk naik teksi di perhentian bas itu. Namun, bas Rapid KL yang berhenti seakan-akan menunggu aku dengan menawarkan tambang RM1 berbanding dengan menaiki teksi, RM5.

Hujan renyai ketika itu. Beberapa orang warga asing yang mana pada perkiraan aku mahu solat Jumaat terkejar-kejar ke bas tersebut. Aku juga tidak melepaskan peluang untuk berlari-lari anak bersama untuk menaiki bas itu.

Sebelum menaiki tangga bas, sempat aku bertanya pada pemandu bas tersebut sama ada bas itu berhenti di LRT BTS atau tak. Dan dia mengiakan.

Selangkah aku naik, aku berkira-kira untuk turun semula. Semua penumpang adalah lelaki. Semua. Namun, apalah dayaku untuk turun semula sedangkan bas sudah mahu bergerak.

Aku tetapkan diri untuk berdiri di depan dekat dengan pemandu bas. Aku buat muka segagah mungkin agar tak kelihatan seperti kecuakkan. Hati memujuk, mereka semua ini dalam perjalanan menuju Allah.

Alhamdulillah. Selamat sampai pun kat LRT BTS. Terus swipe Touch n Go. Destinasi, Masjid Jamek. Keluar dari LRT, pemandangan bawah ke masjid penuh ketika itu. Sangat penuh. Hingga ke keluar masjid. Satu pasangan warga asing sempat menjengah ke bawah dan seperti terpaku seketika.

Aku harap yang mereka lihat dan fikir adalah syumulnya agama Islam. Seluruh muslimin berhenti sebentar dengan urusan kerja dan bersama-sama bersujud kepada Yang Maha Esa. Terus aku cepatkan langkah kaki turun ke eskalator bimbang Along sudah terlalu lama menunggu.

Tapi langkah dan pandangan aku seakan-akan terhenti setelah melalui kawasan berhampiran kaunter tiket. Penuh muslimin bersujud. Di laluan pejalan kaki sebelah jalan raya juga. Aku tahu, mungkin ini perkara biasa bagi warga kota bagi tiap-tiap tengah hari Jumaat. Tapi tidak bagi aku. Suasana ini yang pertama kali aku lihat.

Dan ketika itu, ayat hafazan tingkatan 5 yang menjadi silibus pelajaran, seakan-akan kepingan puzzle minta diselesaikan.



Wahai orang-orang yang beriman ! Apabila telah diseru untuk melaksanakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi, carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung.

[Al-Jumu'ah : 9-10]


Islam itu cara hidup.

Sunday, 20 March 2011

Pedestrian Shelter

Walking to the IELTS class at the north wing on the Saturday morning has been part of our daily routine. Though it is quite far yet we prefer not to spend our money for the taxi. Perhaps taking it as an exercise. Semua orang pun jalan kott.

To cross the big and large road, with non-stop vehicles coming, the government has provided us with the pedestrian bridge. not only one but TWO. We always choose the second blue colour one as it is more environment friendly with a few rubbish rather than the other one.

The bridge for us is for road crossing. Not more than that BUT for this one aunty, the bridge is like her shelter. Every Saturday morning we use that bridge, we see the aunty soundly sleeping on the floor at the side of the bridge. Without bothering about the people. The sound of the vehicle. The smell. The cleanliness. Or even about herself. And I..just watching helplessly.

On the way back after the class has finished, the aunty sometimes is still sleeping.

She perhaps may not have the choice. Limited choice to live the life. Yet for us, even to cross the road, we are given the two choices.

Wednesday, 29 December 2010

[5]

Tahun 1990-an

Bunga raya merah dipetik. Cukup tiga kuntum, budak itu kembali kepada rakannya yang setia menanti di bahagian tempat letak kereta berek. Oh, tidak lupa juga beberapa helai daun untuk dijadikan pinggan. Bunga tanjung juga dikutip untuk menambah bau dan rasa masakan.

"Nah ni bunga yang awak mintak. Hari ni kita masak sayur eh. Awak dah cari batu dengan alas? Nanti kami nak tumbuk bunga ni."

"Ni batunya. Kita tumbuk atas simen je lah. Nanti kita kaut pakai daun tu,"

Kelopak bunga raya dicerai satu-satu. Kemudian diletakkan di atas simen lalu ditumbuk. Bunga tanjung yang dikutip tadi ditambah dan ditumbuk sama. Pasir ditambah sebagai penambah perisa. Campuran bahan yang telah siap ditumbuk dikaut dengan daun lalu diletakkan di atas daun lain yang diasingkan dalam lima bahagian.

Siap mengisi, makanan dihidang untuk santapan rakan-rakan yang lain.

"Awak, esok kita main lagi eh. Kami tunggu awak semua kat sini jugak. Kita nak main apa eh?"

yang penting bukan computer games
sebab tak pernah ada di fikiran

apa lagi melayari internet
sebab itu bukan pilihan

ataupun PS3
oh, itu terlalu maju mendahului zaman.

* * * * *


Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghozali bertanya....

Soalan Imam al-Ghazali yang kedua

Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?".
Murid -muridnya menjawab : "Negara Cina, bulan, matahari dan bintang-bintang" .
Lalu Imam Ghozali menjelaskan bahawa semua jawaban yang mereka berikan itu adalah BENAR.
Tapi yang paling benar adalah MASA LALU.








Monday, 27 December 2010

[4]

Kaki melangkah ke wad 9 bersama mak dan ayah. Melawat adik kepada seorang kenalan ayah yang khabarnya kemalangan. Suasana sayu di dalam wad. Si pesakit kaku terbaring bersama isteri yang setia menunggu dengan harapan si suami akan sedar walaupun sesaat.

Namun tiga hari penantian, harapan kian hampa. Si suami kekal kaku terbaring dengan bantuan mesin pernafasan. Oksigen ditujah-tujah masuk untuk memastikan otak berfungsi walaupun harapan untuk sembuh setipis kulit bawang.

Si suami mengalami kecederaan parah, rahang patah dan mengalami pendarahan yang banyak. Si isteri tabah bercerita. Kemalangan itu turut disaksikan si anak yang baru berumur 11 tahun. Bagaikan dihiris sembilu, si anak sayu merangkul bapa dalam pelukan sambil darah mengalir laju. Dengan air mata berjujuran, si anak berlari ke rumah mendapatkan ibunya demi mengkhabarkan kemalangan yang baru berlaku di hadapan matanya.

Harapan untuk hidup sangat tipis. Tiada lagi harapan yang dapat si isteri sandarkan melainkan redha dengan ketentuan Tuhan. Walau hidup sekalipun, kecedaraan yang dihadapi bakal menjadi barah seumur hidup. Si isteri sudah bersedia dengan perpisahan walaupun ianya memeritkan.

Esok menjelang. Si suami disahkan meninggal dunia. Si isteri pasrah kalau memang itu sudah ketentuan Tuhan.

"Di manapun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh..."

[An-Nisa : 78]

Thursday, 16 December 2010

[3]

Ligat tangan ayah menukar gear sebelum stereng dipulas ke kiri dan masuk ke simpang pekan Slim. Tanpa ditanya, ayah membuka bicara

"Malas nak ikut jalan terus tu sebab ada trafik light."

Ok. Saya faham.

Pekan Slim bukanlah besar sangat. Kecil dan kompak. Mudah untuk dibawa ke mana-mana. Erk. Bangunan-bangunan lama masih dikekalkan dengan reka bentuk tipikal yang selalu jumpe kedai lot kat pekan-pekan lama.

Kereta meluncur perlahan melalui jalan yang sebelahnya deretan kedai. Dari kejauhan, nampak seperti bungkusan hitam kat tengah jalan. Apa pun aku tak pasti. Sewaktu kereta ayah dipandu bersebelahan betul-betul dengan objek hitam tersebut. Masyaallah.

Anak kucing.

Nampak sudah tidak bernyawa dan seperti baru dilanggar. Terlantar kaku di tengah jalan. Kesal. Terkilan. Aku hanya melihat. Entahkan masih hidup atau tak. Pandangan dibiarkan berlalu...

Itu cerita anak kucing, yang mana mungkin mengikut telahan aku masih bertatih untuk mengecap kehidupan namun Allah lebih mengetahui.

Tapi ini cerita bayi. kebejatan sosial yang tiada sudah-sudahnya. Berita muka depan harian metro

Kaki pancing menangis teresak-esak lenyek bayi.

Astagfirullah. Tajuk besar yang cukup padat tu pun dah buat hati sayu dan ngeri. Bungkusan hitam yang disangka sampah ditengah jalan rupa-rupanya mengandungi bayi kecil yang baru dilahirkan. Masih bertali pusat namun menjadi mangsa manusia yang tak berperikemanusiaan. Berani buat tapi tak berani tangung. Nak menuding jari pun tak berguna. Sudah banyak dibahaskan namun kebejatan sosial macam racun yang tiada penawar.

Dunia akhir zaman.

Saturday, 20 November 2010

[2]

Dua tiga kali aku fikir. Betul ke aku boleh naik pengangkutan awam sendiri. Di kota metropolitan ni. Kalau berteman takpe juga. Fikir lagi. Aku jadi gelabah. Bukan tak biasa tapi bukan aku sendiri. Seorang tanpa berteman. Tapi sampai bila aku nak bergantung pada orang lain. Ini takut. Itu takut. Semua takut. Usaha tu lebih penting dari hasil.

Sampai kat transit, aku fikir-fikir lagi. Lepas ni kena tukar pula. Takde ke yang satu arah je. Semua stesen dia lalu. Berhenti kat mana-mana stesen je. Tapi dunia ni tak semudah itu. Bukan macam makan bubur. Telefon sel kan ada. Kalau rasa sesat tanya je along. Walaupun kadang-kadang aku terfollow the flow.

Masih menunggu. Masih berfikir dan masih bercelaru.

Seorang insan bertongkat datang dari belakang. Aku hanya lihat dengan ekor mata. Diraba-raba jalan dengan tongkat yang setia di tangan. Mata celik tapi hakikatnya hanya Tuhan yang tahu. Kita yang melihat pun boleh interpretasikan. Kita dikurniakan mata, akal dan pancaindera yang sempurna boleh konklusikan.

Tren sampai. Insan bertongkat masih meraba-raba jalan untuk masuk ke dalam. Aku kurang selidik ada sesiapa tak memimpinnya. Perlahan aku masuk sambil memberi laluan. Aku kagum. Aku yang celik ni punya pelbagai perasaan. Takut. Cuak. Gelabah. Tapi dia yang istimewa tabah meneruskan kehidupan.

Hujung mata aku tak lari dari memerhatikan insan istimewa itu.

Belajar daripada apa yang diperhatikan.

[1]

Kerusi ditarik dan aku pun duduk di situ. Di sebelah kiri meja ada satu family Cina dengan seorang wanita Indonesia. Orang gaji mungkin. Meja sebelah kanan, seorang ibu dan ayah sabar melayan anak-anak yang masih kecil. Nak air, diberi. Nak makan yang itu, disuapkan. Inilah ragam kota. Suasana di satu gerai yang buat aku menjadi pemerhati setia.

Ah Beng (bukan nama sebenar) datang ke meja sambil menyuakan satu raga.

Mau tengok CD baru?

Tak mahu. Itu jawapan aku.

Kalau dulu CD bukan asli bersepah-sepah bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Pasar malam, tepi jalan, kedai CD. Cakap saja nak cerita yang bagaimana. 

Walau kualiti hanya setaraf wayang pun janji beli. Janji orang tengok, aku pun tengok. Itu dulu. Sekarang kalau kau ada internet, memang semua di hujung jari. Purbakala, orang yang cari CD bukan asli tu. Pasar malam. Kualiti tak jamin tapi asal ada gambar.

Tapi sekarang susah mau cari makan maa. Kita yang kena cari pelanggan lo.

Memang itu hakikat. Cari makan dari makanan orang lain.

Ah Beng masih gigih jalan dari meja ke meja. Berharap hasil jualannya laku walaupun hanya 1 dalam 1000. Raga biru ala-ala bakul jual kuih-muih itu disua pada insan di meja hadapan.

Lihat kejap. Belek-belek. Dia ambil satu.

Not kaler merah diberi. Baki 3 not kaler biru dipulangkan.

Ah Beng pun meneruskan usaha penjualan.

Eh, kejap! Nak plastik letak ini CD, sambil panggil Ah Beng kat meja makan tu semula.


Survivor

Aku sendiri pun macam tak percaya, pada tahun 2020, ruang blog ini masih wujud dan bernyawa. I'm glad that 4 years ago, I am still writi...