Sudah lama aku tak bercerita gaya begini. Jadi, aku kumpul cerita itu dalam label Nota Pendek Kehidupan dan ini cerita aku yang ketujuh.
________________________________________
Granada.
Bukan senang mahu jumpa kedai makanan halal di sini. Apatah lagi yang murah dan berpatutan. Awal-awal lagi tugas mencari kedai makanan halal sudah dibahagikan kepada Syafiyyah dan Mimi. Alhamdulillah. Tidak sesukar mana pun untuk mencari. Berpandukan GPS dan gerak hati sampai kami di kedai makanan halal.
Kedai kebab yang satu ini tak berapa jauh dari tempat penginapan.
Sepanyol. Kekangan komunikasi adalah yang paling mencabar.
"Kedai ini halal?" sempat kami tanya pada pemilik kedai kebab berkenaan. Semestinya bukan dalam bahasa Malaysia.
Si pemilik kedai angguk. Alhamdulillah. HALAL. Satu perkataan yang semua Muslim akan tahu makanan itu boleh dan selamat dimakan. Itu baru sepatah dua perkataan yang mutual. Kalau semua orang Islam tahu berbicara Arab, subhanallah! Senang bila bersua. T_T
Komunikasi dengan pembuat kebab itu sangat terhad. Ingin rasanya berbicara walau sekejap. Bertanya pasal Islam. Bertanya pasal dari mana asalnya.
Entah aku lupa macam mana tiba-tiba boleh bermula komunikasi antara kami dan si penjual kebab selepas makanan ditempah.
Dia kata asalnya dari Syria tak silap. Dulu belajar di universiti di Sepanyol.
... dan antara butiran percakapannya antara dengar dan tidak, aku dengar dia kata semua keluarganya sudah meninggal dunia. Sebab waktu itu yang tertangkap di telinga hanya perkataan "Mosque" dan "kill". Si pekedai juga mengisyaratkan seperti tangan memotong leher dan kepala tersendeng ke sebelah.
Kebab yang masih berbaki aku suakan ke dalam mulut. Perlahan aku kunyah dan telan. Pada masa yang sama aku cuba menghadam cerita kehidupan si pemilik kedai kebab.
Mungkin dia sudah lama di Sepanyol dan untuk kembali ke negaranya tidak mungkin kerana dia sudah tidak punya apa.
... dan kemungkinan itu terus tidak berjawab.
_____________________________
Sebenarnya agak teruja bila terjumpa masyarakat Islam di Sepanyol. Alhamdulillah di Granada ramai orang Islam dan kalau berjumpa, disapanya kami dengan salam. Tidak seperti di Seville dan Malaga yang mana kehadiran kami dibalas dengan pandangan yang asing dan janggal.
Heh, memanglah! Dah muka pelancong. Cakap bahasa yang mereka tak faham. Memang orang pandang asing.
Bukan. Maksud saya jauh lagi dari itu. Tentang asing dan janggal itu.
No comments:
Post a Comment