Kali terakhir aku dalam bulan Ramadan penuh bersama keluarga adalah ketika darjah 6, tahun 2004 dan selepas itu sehingga tahun 2011, bulan Ramadan aku sambut dengan kawan-kawan di sekolah dan kolej.
Pengalaman Ramadan sebelum itu tak banyak yang aku ingat. Mungkin kerana masa kecil aku tak banyak didedahkan dengan istimewanya bulan Ramadan. Lain dengan anak-anak zaman kini yang masih kecil sudah mengkhatam al-Quran malah menghafaz al-Quran. Subhanallah hebat adik-adik kini.
Memori yang masih ada adalah ketika aku darjah 6 dan sebelum ke surau berek polis, aku akan panggil "Aifa, Aifa" dari bawah blok F sebelum kami sama-sama menuju ke surau.
Kalau di SEKOLAH MENENGAH dulu, solat tarawikh adalah yang pastinya ditunggu-tunggu ketika bulan Ramadan. Diimamkan oleh Ustaz Amin atau Ustaz Ruzaiza atau Pak Kamil (cikgu Fizik sebenarnya) yang majoritinya makmumnya adalah pelajar perempuan. Roh Ramadan di sekolah lebih terasa kerana kakak-kakak EDAR dan ustaz-ustazah mengisi Ramadan kami dengan perkara bermanfaat.
Petang kami bertadarus. Kadang-kadang menonton Jejak Rasul bersama. Khamis malam Jumaat aktiviti MUFAZ diisi dengan pengisian daripada ustaz. Di hujung Ramadan ada Majlis Khatam Al-Quran. Kadang-kadang ada Qiam berjemaah. Bersendiri itupun kalau ada kawan kejutkan.
Di KOLEJ, Ramadan bagi aku pun ada roh kerana masing-masing berlumba-lumba untuk beribadah. Kalau seorang kawan mengaji selepas setiap solat fardu, rasa rugi kalau tak mengaji sama. Kalau ada yang bangun Qiam dan sahur, rugi kalau tak join sama. Sungguh manis rasa bila sama-sama tunggu Subuh masuk dan solat berjemaah di ruang tamu sambil sofa-sofa ditolak ke tepi yang mana imam akan bergilir-giliur mengikut bilik.
Solat tarawikh pula bergilir-gilir mengikut rumah yang mana selepas itu tuan rumah perlulah menjamu sedikit moreh selepas solat. Imam dan makmum sudah semestinya majoriti perempuan.
Namun, kenapalah eh dah hujung-hujung nak habis a-level, kami baru rasa nak berjemaah Maghrib dan Isyak? Padahal sebenarnya punya masa yang cukup banyak untuk berjemaah setiap solat fardu. Kesal dengan diri sendiri. Kan 27 tu lagi banyakkkk daripada 1? Bukan susah pun kan. Hmm..
Dan tahun 2012 ini, satu bulan penuh Ramadan saya disambut di rumah. Alhamdulillah masih mempunyai kudrat untuk solat tarawikh di surau Kampung Kurnia yang mana majoriti makmumnya golongan-golongan emas. Subhanallah masih bertenaga mereka untuk sama-sama solat jemaah.
Harapan ramadan tahun hadapan, semoga saya masih terus mempunyai kudrat untuk melakukan solat tarawikh dan amalan-amalan yang bermanfaat dengan kesedaran Ruh Ramadan yang lebih mendalam.
Semoga saya lebih menghargai Ramadan dan tak mensia-siakan kedatangannya yang sekali dalam setahun.
Semoga saya diberi peluang untuk bertemu Lailatul Qadr dan beribadah dengan penuh kekhusyukan tanpa ada rasa mengantuk atau sayang pada tidur.
Dan. Semoga saya ketemu lagi dirimu, Ramadan.
**************
Q : Kenapa Lailatul Qadr itu diturunkan kepada umat Nabi Muhammad?
A: Kerana Lailatul Qadr adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan purata umur umat Nabi Muhammad adalah 60-70 tahun sedangkan umur umat terdahulu beratus tahun. Maka, beruntunglah orang yang bertemu Lailatul Qadr kerana amalan yang dilakukannya umpama amalan yang dilakukan selama seribu bulan. Wallahualam.
- Diulas berdasarkan jawapan dalam Tanyalah Ustaz.
2 comments:
Amalina!! How's everything? Selamat berpuasa & raya :)
Qistina! Im shaking for my result tomorrow, 16 Aug. heh. Yours had released is it? Im waiting the good news from you :)
Selamat berpuasa dan hari raya too!
Post a Comment